Selasa, 27 Jun 2017

Ngok ngek Hari Raya

Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan pada semua pembaca. Dalam sedar tak sedar kita dah berada di bulan syawal ..

Setiap kali raya semua saudara-mara meriah berkumpul beramai-ramai di kampung halaman masing-masing. Macam-macam perangai dan telatah yang kita boleh tengok. Paling best ngok ngek pas hari raya.. Kalo dalam kertas BM 1 karangan SPM dulu aku pernah memilih tajuk Pengalaman Beraya di Kampung . Ternyata tajuk ini tidak menghampakan aku dimana BM aku mendapat kredit terbaik..  

Ada yang balik kampung dengan kereta baru, isteri baru dan tak kurang juga yang balik dengan semangat yang baru, membuka lembaran kehidupan yang baru iaitu ingin mengukuhkan ikatan persaudaraan yang sedia terjalin atau merapatkan semula hubungan silaturrahim antara keluarga yang renggang akibat terputus ditengah jalan disebabkan perbalahan merebut harta pusaka oleh orang tua  terdahulu malah tak kurang juga yang balik kampung kerana ingin melepaskan kerinduan yang amat sangat setelah lama tinggal diperantauan dan bermastautin dinegara asing.

Yang kelakarnya macam iklan raya kat tv.. Bila balik kampung hari tu kemain tengok kereta-kereta mewah berterabur depan rumah..tapi rumahnya usang kemain .. Korang tak bagi duit dekat mak bapak kan??.. Nanti bila diperkatakan oleh jiran-jiran sekampung anak anak dia mula laa ckp "don't judge people as book cover laa " , jangan sibuk ni mak ayah aku punya hal. kau apa tahu daa .. hahahaha

Balik kampong setiap kali hari raya memang sudah menjadi budaya orang Malaysia. Menjadi sebahagian dari adat orang-orang melayu khususnya balik kampong, tidur ramai-ramai diruang tamu sampai anjung rumah. Maklumlah rumah orang tua dikampung lazimnya tidak cukup bilik untuk semua. Jadi masing-masing bagaikan sudah faham apabila tiba waktu tidur, bentang comforter atau Toto, pejamkan mata..

Namun setelah ketiadaan kedua ibubapa, maka semakin hari budaya berkumpul itu terus terhakis. Semakin jauh semangat kekitaan antara adik beradik dan ipar duai, maka bertambah jauh jualah hubungan silaturrahim antara keluarga masing-masing selepas itu.

Dulu kalo sehari sebelum raya sungguh meriah. Ada sahaja hiruk pikuk disana-sini. Selang seli bunyi dentuman mercun dan meriam buluh menandakan berlabuhnya ramadan. Selepas acara mantai (menyembelih haiwan) masing-masing sibuk dengan aktiviti seperti menyiang daging ayam dan lembu,  mere­bus ketupat, membakar lemang atau mengacau rendang segalanya dari pagi sehingga lewat malam. Semua pemandangan itu semakin hari semakin beransur hilang..

Situasi ini jugalah  yang sedang menghantui keluarga aku sekarang. Tahun ini merupakan tahun pertama aku beraya tanpa ibu bapa setelah ibu kembali kerahmatullah selepas aidilfitri tahun lalu, manakala ayah pula telah meninggal dunia pada 2010.

Aku harap akan ada usaha dari ahli keluarga ku yang lebih senior untuk mengumpulkan kembali semangat kekitaan yang semakin mula hilang itu dengan mencari alternatif baru menjadikan rumah ibu sebagai port untuk berkumpul semula dihariraya seperti waktu dulu.  


Memang seronok dapat berkumpul adik-beradik, membuat persiapan apa yang patut sambil berkongsi cerita-cerita terbaru dan kisah silam bersama iparduai dan anakbuah mengimbau kisah-kisah lama.

Bila sudah berkumpul adik-beradik dan saudara-mara ramai-ramai bersama-samalah ringankan tulang tolong-menolong. Bahagi-bahagikan tugas. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Bergotong royang adalah amalan terbaik memupuk sikap tolak ansur dan mesyuarah dalam sesuatu komuniti.

Biarlah sama-sama merasai keseronokan berhari raya di kampung. Kalau tak tahu menganyam ketupat, tolong-tolonglah merebusnya. Kalau tak pandai membuat dodol, bantu-bantulah mengacaunya. Kalau tak biasa menggulai rendang, biasa-biasakanlah menyental kuali dan periuk belanga.. tak da alasan nak jadi datin dan dato' yang perasan .. huhu  


Aku pernah menceritakan pengalaman raya ku sebagai anak kampung kepada seorang anak jati Kuala Lumpur .. Bertapa terujanya beliau  ingin mengetahui cerita pasal raya kat kampung tu dan mengalami sendiri nikmat keseronokan beraya seperti itu. 

Rugilah kalo sepatutnya masa santai bersama semua keluarga menyambut kedatangan aidilfitri dengan saling ziarah menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga dihabiskan dengan mengadap gajet dan menonton tv sepanjang hari dirumah masing-masing. Maklumlah hampir semua saluran menayangkan program istimewa hiburan, drama dan filem Blockbuster sempena hari raya.

Ada juga antara orang-orang kita yang sanggup menempah lauk pauk dan makanan untuk raya dari catering service. Mungkin nak jaga kulit dan jari jemari dari melecur kepanasan dapur. Apa salahnye setahun sekali kita hasilkan masakan dari air tangan sendiri untuk keluarga yang tercinta..  



Text By : Adicala 

              ( Perintis Ruang dan Waktu )